PRODUK-PRODUK SUNNAH

PRODUK-PRODUK SUNNAH
Keaslian dan Kilauan Madu Asli Yaman semakin menjadi buah mulut...jom mesej saya +60132041372 atau whatsapp +967714794353 @ emel jer pun ok ibnuzaid359@gmail.com..kalau anda berminat..selanjutnya lawati www.produkyaman.blogspot.com

Friday, August 28, 2009

Kenangan Badar Kubra Bukti Kehebatan Ramadhan

Badar Di Dalam Kenangan

Kemenangan di perang badar hasil daripada pejuang islam sanggup berlapar kerana Allah

Tarikh keramat 17 Ramadhan adalah satu ulang tahun kejayaan yang tentunya menjadi kenangan manis kepada seluruh umat Islam sejagat. Tarikh di mana bertembungnya dua pasukan yang mempunyai dua visi yang berlainan ; satu pihak ingin mencari keredhaan Allah SWT manakala satu pihak mencari keredhaan dunia. Allah SWT ternyata menyebelahi hamba-hambaNya yang sabar dengan menurunkan pertolongan yang tidak sama sekali terduga oleh akal manusia. Nyata sekali betapa besarnay kudrat manusia, jika berdepan dengan kekuatan taqwa dan iman, ia terlalu rapuh dan terlalu mudah untuk ditewaskan. Siapa lagi yang dapat menyangkal pertolongan Allah di sebalik kemenangan 313 tentera muslim menentang kemaraan hebat 1000 orang tentera kuffar yang lengkap dengan peralatan tenteranya? Siapakah yang berani menidakkan keajaiban yang berlaku apabila kaum muslimin yang tidak bersedia pun untuk berperang tiba-tiba diarahkan Rasulullah SAW untuk bertarung dengan kekuatan tentera musyrikin yang datang khusus dari Mekah hanya dengan membawa slogan peperangan?!

Namun, itulah yang berlaku. Di sebalik rayuan Rasulullah SAW menadah tangannya ke langit, Allah SWT tidak membiarkan tangan itu terangkat begitu lama. Para malaikat turun dengan kekuatan yang tidak terjangkau oleh mata kasar manusia. Lalu, kaum muslimin pulang ke Madinah dengan satu kejayaan yang menambahkan semangat juang dan memberikan satu lagi keyakinan bahawa pertolongan Allah pastinya bersama dengan mereka yang bertaqwa. Siapakah yang lebih tepat janjinya daripada Allah SWT yang menukilkan janjinya : Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (ugama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu. (Surah Muhammad, ayat 7).

Kini, pasir-pasir di Badar telahpun kering daripada tumpahan darah manusia lebih 1420 tahun yang lampau. Hiruk pikuk peperangan dan laungan kemenangan kaum muslimin tentunya sudah tenggelam ditelan masa yang begitu laju berlalu. Tiada lagi lontaran panah-panah dan pacuan kuda-kuda perang yang menukilkan kemenangan kepada tentera muslimin, namun sejarah telah tercatit dengan kemas bahawa di situlah satu memori manis telah terbina buat azimat dan penangkal semangat kepada setiap yang ingin melihat agama ini berdaulat di muka bumi.

1423 tahun selepas perang Badar (peperangan Badar berlaku pada tahun ke 2 hijrah), di mana kita dan perjuangan ini? Kini, kaum muslimin bukan lagi berjumlah 313 orang namun berbillion ramainya melata di seluruh muka bumi. Bagaimanapun, ia sudah tidak sama dengan tentera Badar, malah teramat lemah jika dibandingkan dengan mereka. Jika para sahabat sanggup turun menentang kaum musyrikin biarpun peluang untuk menang terlalu tipis, sekarang pula terlalu sedikit individu yang sanggup turun melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang manusia yang mengaku Islam. Kalangan kita sebenarnya lebih enak tidur di katil masing-masing daripada berlumur debu di medan perjuangan.

1423 tahun selepas Badar, kita melihat satu persatu kehormatan kita dicabul oleh ‘musyrikin Quraisy abad 21’. Belum selesai kedaulatan Afghanistan yang dikoyak rabakkan, Iraq pula diragut kebebasannya. Dan jangan lupa, setiap satu tahun selepas 11 September 2001, satu negara Islam menjadi sasaran kemaraan kuasa kuffar. Jika 2002 menyaksikan Afghanistan jatuh dan Iraq pada 2003, maka siapakah pula yang akan menjadi mangsa pada 2004. Mungkinkah Syria.. atau Iran? Apa yang penting, menonton sajakah negera-negara Islam atau menunggu datangnya malaikat dari langit membawa ‘rocket launcher’ bagi menolong kaum muslimin seperti di dalam peperangan Badar? Kalau di dalam peperangan Badar, tangan suci Rasulullah SAW menadah tangan ke langit memohon pertolongan Allah SWT, maka sekarang tangan siapa yang akan berdoa memohon pertolongan? Adakah tangan para pemimpin umat Islam yang berlumuran dengan darah rakyat masing-masing layak menadah tangan?

1423 tahun selepas Badar di negara kita juga tidak kurang menariknya. Telah muncul orang Islam yang sanggup mencabar hukum tuhannya sendiri. Tidak malukah manusia jenis ini sujud dan rukuk (itupun kalau dia bersolat) menyembah Allah SWT tiba-tiba memfailkan saman bagi menghalang hukum Allah dilaksanakan? Tidak malukah seorang yang mengaku Islam menolak mentah-mentah malah mempermainkan hukum agamanya sendiri. Alangkah baiknya jika yang memfailkan saman ini terdiri daripada daripada orang bukan Islam, namun hakikat yang berlaku begitu menyedihkan. Andainya manusia jenis ini hidup ketika peperangan Badar berlaku, agak-agaknya, ke pihak manakah akan disebelahi olehnya? Di sebelah umat Islam yang mempunyai peluang tipis untuk menang ataukah di pihak tentera musyrikin yang mempunyai kekuatan berlipat kali ganda..? Dalam erti kata lain, tidak samakah melawan Rasulullah ketika baginda masih hidup dengan melawan Rasulullah setelah baginda wafat?!

1423 tahun selepas Badar sebenarnya menyaksikan kita dimalukan oleh sejarah. Andainya para syuhada’ dan tentera Badar bangkit kembali untuk melihat keadaan umat yang mereka tinggalkan, apakah jawapan yang akan diberikan kepada mereka nanti? Mengalirkah air mata mereka melihat bagaimana pengorbanan mereka hanya dikenang di dalam buku sejarah, namun tidak sebagai pengajaran umat pada hari ini?

Sejarah terus berlalu. Badar menjadi kenangan kita zaman berzaman. Ya, kemenangannya perlu diulangi, namun ia memerlukan pengorbanan. Ulangilah jawapan para sahabat apabila diajak untuk berjihad oleh Rasulullah SAW : Demi Allah wahai Nabi Allah, kami tidak akan menjawab sebagaimana yang dijawab oleh Bani Israil ketika Nabi Musa mengajak mereka berperang iaitu “(Wahai Musa) pergilah engkau bersama Tuhanmu dan perangilah mereka, (biarlah) kami di sini duduk menunggu", tetapi kami akan menjawab, pergilah engkau bersama Tuhanmu dan perangilah mereka, kami akan bersama-sama dengan kamu untuk berperang!"



forward :Ahmad Fadhli bin Shaari (kaherah)

No comments: