PRODUK-PRODUK SUNNAH

PRODUK-PRODUK SUNNAH
Keaslian dan Kilauan Madu Asli Yaman semakin menjadi buah mulut...jom mesej saya +60132041372 atau whatsapp +967714794353 @ emel jer pun ok ibnuzaid359@gmail.com..kalau anda berminat..selanjutnya lawati www.produkyaman.blogspot.com

Thursday, February 17, 2011

Sayap Kiri Gerakan Mahasiswa


CABARAN masa kini dan arus modenisasi kian mendesak kaum Hawa untuk memerah keringat dan membanting tulang bagi memastikan tertegaknya kalimah Allah. Bagi golongan mahasiswi pula, kemestian untuk menceburkan diri dalam pengurusan di alam mahasiswa atau dengan kata lainnya berpersatuan sudah semestinya diberikan prioriti.

Realiti bahawa amal ijtima’ie yang dituntut oleh agama ini menagih sejuta persediaan mental, thaqafah, fizikal juga spiritual seharusnya mendorong kaum Muslimah untuk bekerja keras menyiapkan diri ke arahnya. Gerakan mahasiswa merupakan medan yang cukup ideal untuk melatih para Muslimah dengan pelbagai kemahiran untuk diaplikasikan dalam kehidupan. Bagaimana mungkin matlamat ini mampu dicapai sekiranya golongan mahasiswi ini enggan meleburkan masa, tenaga, harta dan buah fikiran dalam gerakan mahasiswa itu sendiri?

Senario ‘tidak pedulisme’ dalam kalangan mahasiswa lahir kesan daripada kefahaman agama yang cetek atas tuntutan mengerjakan kebaikan dan mencegah kemungkaran. Penting bagi kaum Muslimah untuk menyumbang tenaga dalam gerakan mahasiswa selaras dengan saranan Allah SWT melalui Al-Furqan yang bermaksud:

“Dan orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengah yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan solat dan menunaikan zakat, serta taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Perkasa, lagi Maha Bijaksana.” (At-Taubah:71)

Desas-desus yang mengatakan bahawa gerakan mahasiswa mampu merencatkan prestasi akademik individu haruslah ditepis secara matang. Seharusnya gerakan mahasiswa itu sendiri membentuk individu yang mampu menguruskan masa dengan baik dan mendisiplinkan diri bagi memastikan prestasi akademik tidak terabai. Kaum Hawa bakal bergelar isteri, ibu dan naqibah dalam masyarakat seharusnya dilatih membahagikan masa dan menjalankan tiap peranan yang ditaklifkan dengan kesungguhan. Tidak salah apabila disimpulkan bahawa gerakan mahasiswa merupakan platform persediaan bagi para Muslimah sebelum terjun ke medan dakwah yang penuh variasi di tanah air kelak.

Dalam mendepani cabaran pelbagai ideologi yang kian meresap masuk ke dalam masyarakat dewasa ini, seorang mahasiswi mesti menyiapkan diri dengan kelengkapan thaqafah yang sentiasa bertambah dari masa ke semasa. Bukan sahaja pengetahuan pada ilmu agama, bahkan penguasaan terhadap isu semasa, ekonomi, perundangan, kesihatan, komunikasi bahkan pelbagai soft skills yang lain adalah perlu sebagai bumbu kepada uslub dakwah. Gerakan mahasiswa mampu menawarkan kesemua pakej pengetahuan tersebut melalui latihan yang panjang dan berterusan. Maka dengan itu tidak ada alasan lagi untuk meminggirkan diri dalam lautan kelalaian tanpa mahu bekerjasama menghidupkan perjuangan melalui gerakan mahasiswa.

Sekiranya kaum Muslimah melalaikan tanggungjawab amal ijtima’ie di alam mahasiswa ini, padahnya akan dirasai bukan sahaja oleh Muslimah itu sendiri, bahkan agama dan komuniti mahasiswi tersebut akan turut terjejas. Universiti bakal melahirkan mahasiswi yang sekadar memiliki ijazah untuk bekerja tetapi cetek kefahamannya akan tujuan dirinya diutuskan ke bumi Allah; iaitu sebagai khalifah. Masyarakat luar akan memandang para Muslimah sebagai kelompok yang tidak kompeten dan tidak reliable. Dan kemuncaknya dapat dilihat apabila kaum Muslimah ini tidak mampu bangkit membela masyarakat yang kian mabuk dirasuk pelbagai ideologi yang merosak akhlak dan cara hidupnya.

Apakah kita selaku Muslimah sanggup membiarkan perkara-perkara tersebut terjadi lantaran sikap tidak peduli di atas taklifan ini?

Muslimah yang dicari-cari untuk menjadi benteng organisasi daripada sebarang pengaruh negatif ini haruslah membajai diri dengan kualiti-kualiti seperti taqwa agar usaha sebegini dapat disuburkan. Hakikatnya taqwa itulah yang mencetuskan kesabaran dalam mengorbankan kepentingan diri demi kemaslahatan ummah. Taqwa itulah yang mencetus kesyukuran kemudian dizahirkan dengan kesetiaan menjalankan hukum-hukum Allah SWT.

Keyakinan akan syariat Islam yang bersifat universal dan sikap optimis akan masa depan Islam yang dijanjikan kemenangan ini mesti dimiliki oleh tiap Muslimah. Seharusnya refleksi diri dilazimi dan usaha membersihkan hati daripada sikap mementingkan diri serta malas dijadikan keutamaan.

Agama ini tidak akan sempurna tanpa pengurusan dan pengurusan itu memerlukan keyakinan akan kesempurnaan Islam juga kepatuhan pada sunnah Rasulullah SAW sebagai sebaik-baik pemimpin. Berjuanglah untuk menjadi Muslimah mursyidah yang bakal mendokong amalan syura sedang ia dijamin kedudukannya di sisi Allah.

Akhirnya buat para Muslimah yang bergelar sayap kiri perjuangan, usahlah gentar pada cabaran menegakkan kalimah Allah dan onak durinya.

Bukankah cabaran dan ujian itu sunnatullah dalam menjulang Islam di mata dunia?

Disediakan oleh,
Urus Setia Penerangan Umum (UPU)
Badan Penerangan & Penerbitan PMRAM 2010 &
Unit Penerangan & Penerbitan HEWI PMRAM 2010

No comments: