Sejarah kelahiran Pas ialah untuk menyahut seruan kewajipan untuk
berdakwah dan mengajak manusia ke jalan Allah dan memperkenalkan Islam
dalam bentuk “Din Wa al-Daulah” seperti yang diarahkan oleh Allah dan
Rasulullah SAW. Firman Allah SWT
” Hendaklah ada di kalangan kamu segolongan orang yang menyeru
(berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat
segala perkara yang baik serta melarang daripada segala yang salah
(buruk dan keji)” (al-Imran 3:104)
Untuk mencapai cita-cita bagi menegakkan Amar Makruf dan Nahyu ‘Anil
Munkar ia tidak boleh dilaksanakan kecuali mempunyai kuasa politik
(kerajaan), kerana kerajaan sahaja yang boleh melaksanakan perintah dan
larangan seperti yang dilakukan oleh Rasulullah SAW ketika berada di
Madinah. Baginda tidak boleh melaksanakan Amar makruf Dan Nahyu Anil
Munkar dengan sempurna ketika berada di Makkah kerana baginda tidak
mempunyai kuasa. Pas sebagai sebuah Harakah Islamiah tidak hanya
bergantung kepada ceramah dan kuliah sebaliknya ia memerlukan kuasa bagi
memastikan bahawa tuntutan Islam dapat dilaksanakan dengan sempurna.
Justeru itu kita bekerja untuk mencapai cita-cita tersebut.
Penyertaan
Pas di dalam pilihanraya adalah salah satu wasilah untuk ke arah itu.
Inilah uniknya Pas, ia juga sebagai sebuah parti politik dan juga
sebagai gerakan Islam di negara ini.
Seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Pas fasal 3. Dasar Pas ialah Islam.
Islam yang diperjuangkan oleh Pas ialah Islam yang lengkap,
merangkumi semua perkara samaada ibadah, politik, ekonomi, akhlak. Dalam
erti kata yang lain yang merangkumi urusan hidup dan mati. Pas mahu
memperjuangkan Din wa daulah (agama dan Negara)
Di Dalam fasa 5. Tujuan Pas ialah:
(1) Memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah
masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya
nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredaan Allah.
. (2)Mempertahan kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan negara.
Di dalam fasal ini jelas bahawa Pas berusaha untuk mewujudkan
masyarakat yang mengamalkan Islam. Ertinya Pas tidak pernah tergelincir,
sebaliknya orang yang menuduh Pas tergelincir sekarang sudah masuk ke
dalam gaung, sedang menjerit-jerit untuk mendapat pertolongan daripada
kawannya (Umno) untuk mendapat bantuan pernafasan. Walaupun rakannya
sekarang mengalami penyakit semput kerana tidak cukup oksigen di dalam
badan. Akhirnya kedua-dua lemas dan tenggelam dan tidak timbul-timbul
lagi.
Fasal 7, Sumber rujukan tertinggi yang menjadi hukum dan kekuasaan Pas ialah Al-Quran, Sunnah, Ijmak dan Qias.
Di dalam Fasal 8 Perlembagaan Pas telah menetapkan bahawa Majlis
Syura Ulamak adalah berfungsi untuk menjamin kekuasaan Pas [Fasal 7 (2)]
tidak tergelincir daripada sumber hukum Pas [Fasal 7 (1)]. Atas asas
ini, Majlis Syura Ulamak diberi tiga bidang kuasa iaitu:
i.Menghurai, menjelas dan mentafsirkan Dasar Pas dalam Perlembagaan Pas.
ii.Mengeluarkan arahan supaya dasar dan ketetapan dipatuhi oleh semua
pihak dalam Pas serta mengawal supaya semua dasar dan ketetapan
dipatuhi dalam melaksanakan aktiviti Pas.
iii.Rayuan disiplin
Melihat kepada apa yang tercatat di dalam Perlembagaan Pas sudah
membayangkan inilah perjuangan Pas yang tidak pernah menggadaikan
prinsip samaada ketika menang atau kalah, samaada terbilang atau
terbuang. Perjuangan yang suci ini telah mendapat kepercayaan daripada
berbagai peringkat. Semakin ditekan dan difitnah semakin mendapat
sokongan dan dokongan, bukan sahaja daripada orang Islam, malah dari
kalangan bukan Islam. Apa yang dilalui oleh Pas seperti yang disebut
pepatah cina “Emas yang berkualiti tidak akan hancur walaupun dibakar
dengan api yang kuat”
Pas hendak mendapatkan kuasa bukan cara yang tidak bermoral dan
berakhlak. Pas tidak mengiktiraf pendekatan “Matlamat menghalalkan
cara”. Pas perlukan kuasa untuk menghayati Islam yang syumul seperti
yang diajar oleh nabi kita Muhammad SAW. Baginda tidak akan berhijrah ke
Madinah dengan meninggalkan bumi Makkah kalau hanya hendak bersolat dan
tawaf di Ka’bah sedangkan sistem yang berjalan di dalam masyarakat
penuh dengan kezaliman dan penindasan.
Kuasa yang Pas miliki berbeza dengan Umno miliki. Walaupun serupa
tetapi tidak sama. Pas mendapat kuasa untuk mengangkat Islam, sedangkan
Umno mendapat kuasa dengan meminggirkan Islam dan dijadikan sebagai alat
untuk mencari sokongan bagi mengekalkan kuasa. Umno buat seminar dakwah
tetapi Umnolah juga menyekat usaha pengembangan dakwah. Dakwah acuan
Umno hanya Amar Makruf, tidak boleh Nahi Munkar. Siapa yang berani
bicara berkenaan dengan Amar Makruf Nahi Munkar akan digam dan diburu.
Rancangan agama di Televisyen hanya sekadar lepas batuk ditangga, bukan
menerangkan Islam yang syumul. Begitu juga masjid di bawah jagaan Umno,
mati dahulu sebelum ahli kariah mati. Memang usaha mereka untuk mendapat
kuasa supaya fungsi masjid tidak hidup dengan majlis ilmu. Pemimpin
Umno faham orang yang berilmu dan faham agama yang syumul tidak akan
menyokong perjuangan Umno.
Kalau tuduhan orang mengatakan Pas utamakan kuasa sehingga
mengenepikan Islam suatu tuduhan yang tidak betul. Jikalau Pas gilakan
kuasa lebih baik Pas bersetongkol dengan Umno yang memang sudah
disediakan karpet merah, sebaliknya Pas tidak menerima pelawaan ini.
Sebaliknya Pas terus mengemudi bahtera perjuangan dan merentas ombak dan
badai bersama dengan Islam. Segala keputusan yang Pas laksanakan
seperti Tahaluf Siasi semuanya berdasarkan apa yang diputus dan dikaji
oleh Majlis Syura yang mampu menekuni segala permasalahan hukum
berdasarkan sumber Al-Quran, Hadis, Ijmak dan Qias Ertinya segala
keputusan yang dibuat berdasarkan kepada dosa dan pahala, syurga dan
neraka. Semua di kalangan ahli Syura sedar apa makna ada kuasa jika
dengan kuasa membawa diri masuk ke dalam neraka Waliyazubillah.
Ustaz Idris Ahmad
"Michael H. Hart, seorang yahudi merupakan ahli astronomi dan ahli sejarah terkenal di Amerika Syarikat dalam bukunya "The 100:A Ranking of the Most Influential Persons in History" ( 100 Manusia Yang Paling Berpengaruh Dalam Sejarah )menyebut bahawa Nabi Muhammad SAW adalah orang yang paling berpengaruh di antara jutaan penduduk dunia, karena ia adalah satu-satunya manusia yang berhasil secara luar biasa baik dalam kegiatan keagamaan mahupun pemerintahan"
No comments:
Post a Comment